Perjanjian Microsoft Cloud
Perjanjian Microsoft Cloud
Perjanjian Awan Microsoft ini adalah antara entiti yang anda wakili atau, jika anda tidak menetapkan entiti berhubungan dengan pembelian atau pembaharuan Langganan, anda secara individu (“anda” atau “milik anda”) dan Microsoft Regional Sales Corporation (“Microsoft”, “kami”, “kita” atau “milik kita”). Perjanjian ini terdiri daripada terma dan syarat di bawah, serta Terma Perkhidmatan Dalam Talian dan SLA (bersama-sama, “perjanjian”). Ia berkuat kuasa pada tarikh yang Penjual anda menguntukkan Langganan anda. Istilah utama didefinisikan dalam Bahagian 11.
1. Penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian.
a. Hak penggunaan. Kami memberikan anda hak untuk mencapai dan menggunakan Perkhidmatan Dalam Talian dan memasang serta menggunakan Perisian yang disertakan bersama Langganan anda, seperti yang dijelaskan lebih lanjut dalam perjanjian ini. Kami memelihara hak-hak lain.
b. Memilih Penjual Semula. Anda mesti memilih dan mengekalkan Penjual Semula yang dibenarkan dalam rantau anda. Jika Microsoft atau Penjual Semula memilih untuk menamatkan urusan perniagaan antara satu sama lain, anda mesti memilih Penjual Semula gantian atau membeli Langganan terus daripada Microsoft, yang mungkin memerlukan anda menerima terma berlainan.
c. Akses Pentadbir Penjual Semula dan Data Pelanggan. Anda memperakui dan bersetuju bahawa (i) setelah anda memilih Penjual Semula, bahawa Penjual Semula tersebut akan menjadi pentadbir utama bagi Perkhidmatan Dalam Talian sepanjang Tempoh tersebut dan akan mempunyai kelayakan dan akses pentadbiran kepada Data Pelanggan, walau bagaimanapun, anda boleh meminta kelayakan pentadbir tambahan daripada Penjual Semula anda; (ii) amalan privasi Penjual Semula berhubungan dengan Data Pelanggan atau sebarang perkhidmatan yang disediakan oleh Penjual Semula mungkin berbeza daripada amalan privasi Microsoft; dan (iii) Penjual Semula mungkin mengumpulkan, menggunakan, memindahkan, mendedahkan dan sebaliknya memproses Data Pelanggan, termasuk data peribadi. Anda bersetuju kepada Microsoft memberikan Penjual Semula Data Pelanggan dan maklumat yang anda berikan kepada Microsoft untuk tujuan memesan, memperuntukkan dan mentadbir Perkhidmatan Dalam Talian.
d. Penggunaan boleh diterima. Anda boleh menggunakan Produk selaras dengan perjanjian ini sahaja. Anda tidak boleh melakukan pembalikan kejuruteraan, menyahkompilasi, membuka pemasangan atau mengatasi pengehadan teknikal dalam Produk, kecuali setakat ang dibenarkan oleh undang-undang yang diguna pakai, meskipun terdapat pembatasan ini. Anda tidak boleh menyahdayakan, mengusik atau sebaliknya cuba memintas sebarang mekanisme pengebilan yang mengukur penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian oleh anda. Anda tidak boleh menyewa, memajak, meminjam, memindahkan atau mengehoskan Produk atau sebarang bahagian daripadanya kepada atau untuk pihak ketiga kecuali seperti yang dibenarkan secara nyata dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian.
e. Pengguna Akhir. Anda mengawal akses oleh Pengguna Akhir dan anda bertanggungjawab atas penggunaan Produk oleh mereka selaras dengan perjanjian ini. Contohnya, anda akan memastikan Pengguna Akhir mematuhi Dasar Penggunaan Boleh Diterima.
f. Data Pelanggan. Anda bertanggungjawab sepenuhnya untuk kandungan semua Data Pelanggan. Anda akan melindungi dan mengekalkan semua hak ke atas Data Pelanggan untuk kami memberikan anda Perkhidmatan Dalam Talian kepada anda tanpa melanggar hak mana-mana pihak ketiga atau sebaliknya mewajibkan Microsoft kepada anda atau mana-mana pihak ketiga. Microsoft tidak dan tidak akan menanggung sebarang kewajipan berhubungan dengan Data Pelanggan atau penggunaan Produk oleh anda selain daripada yang ditetapkan dalam perjanjian ini atau sebagaimana yang diperlukan undang-undang.
g. Tanggungjawab ke atas akaun anda. Anda bertanggungjawab untuk mengekalkan kerahsiaan sebarang kelayakan pengesahan bukan awam yang berkaitan dengan penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian anda. Anda mesti memaklumkan sokongan pelanggan mengenai sebarang kemungkinan penyalahgunaan akaun anda atau butiran kelayakan atau sebarang insiden keselamatan yang berkaitan dengan Perkhidmatan Dalam Talian.
h. Kelayakan untuk versi Akademik, Kerajaan dan Bukan Keuntungan. Anda bersetuju bahawa jika anda membeli tawaran akademik, kerajaan atau bukan keuntungan, anda memenuhi keperluan kelayakan masing-masing yang disenaraikan di tapak berikut:
(i) Untuk tawaran akademik, keperluan untuk institusi pendidikan (termasuk pejabat pentadbiran atau lembaga pendidikan, perpustakaan awam atau muzium awam) disenaraikan di xxxx://xx.xxxxxxxxx.xxx/xxxxxxxx;
(ii) Untuk tawaran kerajaan, keperluan disenaraikan di xxxx://xx.xxxxxxxxx.xxx/xxxxxxxxxx; dan
(iii) Untuk tawaran bukan keuntungan, keperluan disenaraikan di xxxx://xx.xxxxxxxxx.xxx/xxxxxxxxx.
Microsoft memelihara hak untuk mengesahkan kelayakan pada bila-bila masa dan menggantungkan Perkhidmatan Dalam Talian jika keperluan kelayakan sedemikian tidak dipenuhi.
i. Keluaran pratonton. Kami mungkin menyediakan Pratonton. Pratonton disediakan “seperti sedia ada,” “dengan semua ralat,” dan “apabila tersedia,” dan dikecualikan daripada SLA dan semua waranti terhad yang diberikan dalam perjanjian ini. Pratonton mungkin tidak diliputi oleh sokongan pelanggan. Pratonton mungkin tertakluk kepada keselamatan yang kurang atau berlainan dan komitmen privasi, seperti yang diterangkan selanjutnya dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian dan sebarang notis tambahan yang diberikan dalam Pratonton. Kami mungkin menukar atau menamatkan Pratonton pada bila-bila masa tanpa notis. Kami juga mungkin memilih untuk tidak melancarkan Pratonton kepada “Ketersediaan Am.”
2. Langganan, pesanan.
a. Tawaran Langganan yang Tersedia. Tawaran Langganan yang tersedia kepada anda akan ditetapkan oleh Penjual Semula anda dan biasanya boleh dikategorikan sebagai satu atau gabungan perkara berikut:
(i) Tawaran Komitmen. Anda mempersetujui lebih awal untuk membeli kuantiti tertentu Perkhidmatan Dalam Talian untuk digunakan sepanjang Tempoh dan membayar lebih awal atau secara berkala sebelum penggunaan.
(ii) Tawaran Penggunaan (juga dikenali sebagai Bayar Sambil Menggunakan (Pay- As-You-Go)). Anda membayar berdasarkan penggunaan sebenar tanpa komitmen pendahuluan.
(iii) Tawaran Terhad. Anda menerima kuantiti terhad Perkhidmatan Dalam Talian untuk tempoh terhad tanpa caj (contohnya, percubaan percuma) atau sebagai sebahagian daripada tawaran Microsoft lain (contohnya, MSDN). Peruntukkan dalam perjanjian ini berhubungan dengan SLA dan pengekalan data mungkin tidak berkenaan.
b. Pesanan.
(i) Pesanan mesti dibuat menerusi Penjual Semula tetapan anda. Anda boleh membuat pesanan untuk Sekutu anda di bawah perjanjian ini dan memberikan hak pentadbir kepada Sekutu anda untuk menguruskan Langganan, walau bagaimanapun, Sekutu tidak boleh membuat pesanan di bawah perjanjian ini. Anda juga boleh memperuntukkan hak yang diberikan di bawah Seksyen 1.a kepada pihak ketiga tersebut dalam perniagaan dalaman anda. Jika anda memberikan sebarang hak kepada Sekutu atau pihak ketiga berhubungan dengan Perisian atau Langganan anda, seperti Sekutu atau pihak ketiga tersebut akan terikat dengan perjanjian ini dan anda bersetuju untuk bertanggungjawab secara bersama dan berasingan untuk
sebarang tindakan Sekutu atau pihak ketiga tersebut yang berkaitan dengan penggunaan Produk oleh mereka.
(ii) Penjual Semula anda mungkin membenarkan anda untuk mengubah suai kuantiti Perkhidmatan Dalam Talian dalam Tempoh Langganan. Kuantiti tambahan Perkhidmatan Dalam Talian yang ditambah pada Langganan akan tamat tempoh pada penghujung Langganan tersebut.
c. Harga dan pembayaran. Harga untuk setiap Produk dan sebarang terma dan syarat penginvoisan dan pembayaran akan ditetapkan oleh Penjual Semula anda.
d. Pembaharuan.
(i) Selepas pembaharuan Langganan anda, anda mungkin diperlukan untuk menandatangani perjanjian baru, perjanjian tambahan atau pindaan pada perjanjian ini.
(ii) Langganan anda akan diperbaharui secara automatik melainkan anda memberikan Penjual Semula anda notis mengenai niat anda untuk tidak memperbaharui sebelum tamat Tempoh Langganan tersebut.
e. Cukai. Pihak-pihak ini tidak bertanggungjawab untuk sebarang cukai pihak lain yang pihak lain tersebut mempunyai kewajipan undang-undang untuk membayar dan yang ditanggung atau timbul berhubungan dengan atau berkaitan dengan transaksi yang dipertimbangkan di bawah perjanjian ini dan semua cukai sedemikian akan menjadi tanggungjawab kewangan pihak yang bertanggungjawab oleh pelaksanaan undang- undang untuk membayar cukai sedemikian.
3. Tempoh, penamatan dan penggantungan.
a. Tempoh perjanjian dan penamatan. Perjanjian ini akan kekal berkuat kuasa sehingga tamat tempoh atau penamatan Langganan anda, yang mana satu dahulu. Anda boleh menamatkan perjanjian ini pada bila-bila masa dengan menghubungi Penjual Semula anda. Tamat tempoh atau penamatan perjanjian ini hanya akan menamatkan hak anda untuk membuat Pesanan baru bagi Produk tambahan di bawah perjanjian ini.
b. Pembatalan atau pemindahan Langganan. Penjual Semula anda akan menetapkan terma dan syarat, jika anda, selepas yang mana anda boleh membatalkan atau memindahkan Langganan.
c. Penggantungan. Kami boleh menggantungkan penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian anda jika: (1) ini diperlukan untuk menghalang akses yang tidak dibenarkan kepada Data Pelanggan; (2) anda gagal untuk membalas kepada dakwaan pelanggaran yang disyaki di bawah Seksyen 6 dalam masa yang tertentu; atau (3) anda tidak bersetuju dengan Dasar Penggunaan Boleh Diterima atau anda melanggar terma lain dalam perjanjian ini. Jika satu atau lebih keadaan ini berlaku, maka:
(i) Untuk Tawaran Terhad, kami mungkin menggantung penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian oleh anda atau menamatkan Langganan anda dan akaun anda dengan segera tanpa notis.
(ii) Untuk semua Langganan lain, penggantungan akan dikenakan pada bahagian minimum yang diperlukan bagi Perkhidmatan Dalam Talian dan akan berkuat kuasa hanya apabila keadaan atau keperluan wujud. Kami akan memberikan notis kepada pentadbir yang ditentukan untuk Langganan anda, yang mungkin anda dan/atau Penjual Semula anda, sebelum kami menggantungkan, kecuali yang kami percaya bahawa kami perlu menggantungnya serta merta. Jika anda tidak menyelesaikan sepenuhnya sebab penggantungan dalam masa 60 hari selepas kami membuat penggantungan, kami boleh menamatkan Langganan anda dan memadamkan Data Pengguna anda tanpa sebarang tempoh pengekalan. Kami juga boleh menamatkan Langganan anda jika penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian oleh anda digantung lebih daripada dua kali dalam sebarang tempoh 12 bulan.
d. Setakat yang perlu untuk melaksanakan penamatan peruntukkan perjanjian ini, kedua- dua pihak menepikan sebarang hak mereka atau kewajipan yang mereka mungkin miliki,
sekarang atau di masa hadapan di bawah sebarang undang-undang atau peraturan berkenaan, untuk meminta atau mendapatkan kelulusan, perintah, keputusan atau penghakiman di sebarang mahkamah untuk menamatkan perjanjian ini.
4. Keselamatan, privasi dan perlindungan data.
a. Anda bersetuju kepada pemprosesan maklumat peribadi oleh Microsoft dan ejennya bagi memudahkan pelaksanaan kandungan perjanjian ini. Anda boleh memilih untuk memberikan maklumat peribadi kepada Microsoft bagi pihak ketiga (termasuk kenalan, penjual semula, pengedar, pentadbir dan pekerja anda) sebagai sebahagian daripada perjanjian ini. Anda akan mendapatkan semua persetujuan yang diperlukan daripada pihak ketiga di bawah undang-undang privasi dan perlindungan data sebelum memberikan maklumat peribadi kepada Microsoft.
b. Butiran privasi dan keselamatan tambahan diterangkan dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian. Komitmen yang dibuat dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian hanya digunakan pada Perkhidmatan Dalam Talian yang dibeli di bawah perjanjian ini dan tidak kepada sebarang perkhidmatan atau produk yang disediakan oleh Penjual Semula anda.
c. Anda bersetuju dan membenarkan Microsoft (dan pembekal khidmat serta subkontraktornya), atas arahan Penjual Semula atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang, untuk mengakses dan mendedahkan kepada penguatkuasaan undang- undang atau pihak berkuasa kerajaan yang lain, data daripada, mengenai atau yang berkenaan dengan anda, termasuk kandungan komunikasi (atau untuk memberikan penguatkuasaan undang-undang atau entiti kerajaan lain, akses kepada data sedemikian).
d. Seperti dan setakat yang diperlukan oleh undang-undang, anda perlu memaklumkan pengguna individu mengenai Perkhidmatan Dalam Talian bahawa data mereka mungkin diproses atas tujuan mendedahkannya kepada penguatkuasaan undang-undang atau pihak berkuasa kerajaan yang lain seperti yang diarahkan oleh Penjual Semula atau seperti yang diperlukan oleh undang-undang dan anda perlu mendapatkan keizinan pengguna untuk perkara ini.
e. Anda melantik Penjual Semula sebagai ejen anda bagi tujuan berhubung dengan dan memberikan arahan kepada Microsoft atas tujuan dalam Seksyen 4 ini.
5. Waranti.
a. Waranti terhad.
(i) Perkhidmatan Dalam Talian. Kami menjamin bahawa Perkhidmatan Dalam Talian akan memenuhi terma SLA sepanjang Tempoh. Remedi anda untuk pelanggaran waranti ini adalah seperti yang di dalam SLA sahaja.
(ii) Perisian. Kami menjamin untuk satu tahun mulai tarikh penggunaan pertama Perisian oleh anda bahawa ia akan berfungsi sebahagian besarnya seperti yang diterangkan di dalam dokumen pengguna yang berkenaan. Jika Perisian gagal untuk memenuhi waranti ini, kami akan, dalam pilihan kami dan sebagai remedi eksklusif anda, sama ada (1) mengembalikan harga yang dibayar untuk Perisian atau (2) memperbaiki atau menggantikan Perisian.
b. Pengecualian waranti terhad. Waranti terhad ini adalah tertakluk kepada pengehadan berikut:
(i) sebarang waranti, jaminan atau syarat yang tersirat yang tidak dapat dinafikan sebagai hal ehwal undang-undang akan kekal selama satu tahan mulai permulaan waranti terhad tersebut;
(ii) waranti terhad ini tidak merangkumi masalah yang disebabkan oleh kemalangan, penyalahgunaan atau penggunaan Produk secara yang tidak konsisten dengan perjanjian ini atau dokumentasi atau panduan yang diterbitkan kami atau yang disebabkan oleh peristiwa di luar kawalan munasabah kami;
(iii) waranti terhad ini tidak berkuat kuasa pada masalah yang disebabkan oleh kegagalan untuk memenuhi keperluan minimum sistem; dan
(iv) waranti terhad ini tidak berkenaan dengan Pratonton atau Tawaran Terhad.
c. PENAFIAN. Selain daripada waranti ini, kami tidak menyediakan sebarang waranti, sama ada nyata, tersirat, statutori, atau sebaliknya, termasuk waranti kebolehdagangan atau kesesuaian untuk tujuan tertentu. Penafian ini akan digunakan kecuali setakat yang tidak dibenarkan oleh undang-undang yang berkuat kuasa.
6. Pertahanan terhadap tuntutan.
a. Pertahanan.
(i) Kami akan mempertahankan anda terhadap sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga yang tidak bersekutu bahawa Xxxxxx melanggar paten, hak cipta atau tanda dagangan pihak ketiga atau menggunakan rahsia dagangannya secara tidak sah.
(ii) Anda akan mempertahankan kami terhadap sebarang tuntutan yang dibuat oleh pihak ketiga tidak bersekutu bahawa (1) sebarang Data Pelanggan, Penyelesaian Pelanggan atau Produk Bukan Microsoft atau perkhidmatan yang anda sediakan secara langsung atau tidak langsung semasa menggunakan Produk melanggar paten, hak cipta atau tanda dagangan pihak ketiga atau menggunakan rahsia dagangannya secara tidak sah; atau (2) timbul daripada pelanggaran Dasar Penggunaan Boleh Diterima.
b. Batasan. Kewajipan kami dalam Bahagian 6.a tidak berkenaan dengan tuntutan atau award berdasarkan pada: (i) sebarang Penyelesaian Pelanggan, Data Pelanggan, Produk Bukan Microsoft, pengubahsuaian yang anda buat pada Produk atau perkhidmatan atau bahan yang anda berikan atau sediakan sebagai sebahagian daripada penggunaan Produk; (ii) gabungan Produk oleh anda dengan, atau kerugian berdasarkan nilai Data Pelanggan atau Produk Bukan Microsoft, data atau proses perniagaan; (iii) penggunaan tanda dagangan Microsoft oleh anda tanpa keizinan bertulis nyata kami, atau penggunaan Produk oleh anda selepas kami memaklumkan anda untuk berhenti menggunakannya disebabkan tuntutan pihak ketiga; atau (iv) pengedaran semula Produk oleh anda kepada, atau penggunaan untuk manfaat mana-mana pihak ketiga yang tidak bersekutu; atau (v) Produk disediakan secara percuma.
c. Remedi. Jika kami percaya sewajarnya bahawa tuntutan di bawah Bahagian 6.a.(i) boleh menghalang penggunaan Produk oleh anda; kami akan berusaha untuk: (i) mendapatkan hak untuk anda terus menggunakannya; atau (ii) mengubahsuai atau menggantikannya dengan produk dengan fungsi yang setara dan memaklumkan anda untuk berhenti menggunakan versi terdahulu Xxxxxx. Jika opsyen ini tidak wajar dari segi komersial, kami boleh menamatkan hak penggunaan Produk oleh anda dan kemudian memulangkan sebarang bayaran pendahuluan untuk hak Langganan yang belum digunakan.
d. Kewajipan. Setiap pihak mesti memaklumkan pihak satu lagi dengan serta merta tentang tuntutan di bawah Seksyen 6 ini. Pihak yang inginkan perlindungan mestilah (i) memberikan pihak satu lagi kawalan mutlak ke atas pertahanan dan penyelesaian tuntutan; dan (ii) memberikan bantuan sewajarnya dalam mempertahankan tuntutan. Pihak yang memberikan perlindungan akan (1) membayar balik pihak satu lagi untuk bayaran perbelanjaan wang sendiri yang sewajarnya yang dikeluarkannya dalam memberikan bantuan tersebut dan (2) membayar amaun sebarang penghakiman akhir akibat kekalahan atau penyelesaian. Hak pihak masing-masing untuk pertahanan dan bayaran penghakiman (atau penyelesaian yang dipersetujui pihak lain) di bawah Bahagian 6 ini adalah sebagai ganti kepada sebarang undang-undang am atau hak statutori perlindungan atau hak serupa dan setiap pihak mengetepikan undang-undang am atau hak statutori sedemikian.
7. Batasan liabiliti.
a. Batasan. Liabiliti agregat bagi setiap pihak untuk semua tuntutan di bawah perjanjian ini terhad kepada pampasan langsung sehingga amaun yang dibayar di bawah perjanjian ini untuk Perkhidmatan Dalam Talian sepanjang 12 bulan sebelum tindakan dimulakan; selagi, dalam tiada keadaan, liabiliti agregat pihak untuk sebarang Perkhidmatan Dalam Talian melebihi amaun yang dibayar untuk Perkhidmatan Dalam Talian tersebut semasa Langganan. Untuk Produk yang disediakan secara percuma, liabiliti Microsoft adalah terhad kepada pampasan langsung sehingga sebanyak USD $5,000.00.
b. PENGECUALIAN. Kedua-dua pihak tidak bertanggungjawab terhadap kehilangan pendapatan atau kerugian tidak langsung, khas, sampingan, berturutan, punitif atau sebagai teladan, atau pampasan untuk kehilangan keuntungan, hasil, gangguan perniagaan atau kehilangan maklumat perniagaan, walaupun pihak mengetahui ia mungkin berlaku atau dapat diramalkan sewajarnya.
c. Pengecualian kepada batasan. Batasan liabiliti dalam Bahagian ini digunakan setakat penuh yang diizinkan oleh undang-undang yang berkenaan, tetapi tidak digunakan terhadap: (1) kewajipan pihak di bawah Bahagian 6; atau (2) pelanggaran hak harta intelektual pihak lain.
8. Perisian.
a. Perisian Tambahan untuk digunakan bersama Perkhidmatan Dalam Talian. Untuk mendayakan capaian dan penggunaan optimum Perkhidmatan Dalam Talian tertentu, anda boleh memasang dan menggunakan Perisian tertentu berhubungan penggunaan Perkhidmatan Dalam Talian oleh anda. Bilangan salinan Perisian yang anda dibenarkan menggunakan atau bilangan peranti pada mana anda dibenarkan menggunakan Perisian akan diterangkan dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian dalam terma lesen khusus produk untuk Perkhidmatan Dalam Talian. Kami boleh menyemak versi Perisian yang anda gunakan dan mengesyorkan atau memuat turun kemas kinian, dengan atau tanpa notis, ke peranti anda. Kegagalan untuk memasang kemas kinian boleh menjejaskan keupayaan anda untuk menggunakan fungsi tertentu Perkhidmatan Dalam Talian. Anda mesti membuang pemasangan Perisian apabila hak anda untuk menggunakannya tamat. Anda juga boleh menyahdayakannya pada bila-bila masa. Hak anda untuk mengakses Perisian pada sebarang peranti tidak memberikan anda sebarang hak untuk melaksanakan paten Microsoft atau harta intelektual Microsoft yang lain dalam perisian atau peranti yang mengakses peranti tersebut.
b. Pematuhan lesen. Bukti lesen Perisian anda adalah (1) perjanjian ini, (2) sebarang pengesahan pesanan, dan (3) bukti pembayaran.
c. Hak lesen tidak berkaitan dengan pemenuhan media Perisian. Pemerolehan media Perisian atau capaian kepada sumber rangkaian oleh anda tidak mempengaruhi lesen anda kepada Perisian yang diperoleh di bawah perjanjian ini. Kami melesenkan Perisian kepada anda, kami tidak menjualnya.
d. Memindahkan dan memperuntukkan lesen. Pemindahan lesen tidak dibenarkan.
9. Sokongan.
Perkhidmatan sokongan untuk Produk yang dibeli di bawah perjanjian ini akan diberikan oleh Penjual Semula anda.
10. Pelbagai.
a. Notis. Anda mesti menghantar notis melalui pos, mengembalikan resit yang diminta, ke alamat di bawah.
Notis mesti dihantarkan ke: | Salinan mesti dihantarkan ke: |
Microsoft Regional Sales Corporation Dept. 551, Volume Licensing 000X Xxxxxxxxx Xxxx, #00-00/00, Xxxxx X Xxxxxxxxx Xxxxxxxxxx Xxxxxxxxx 000000 | Microsoft Corporation Legal and Corporate Affairs Volume Licensing Group One Microsoft Way Redmond, WA 98052 USA Melalui Faks: (000) 000-0000 |
Anda bersetuju untuk menerima notis elektronik daripada kami, yang akan dihantar melalui e-mel kepada pentadbir akaun yang ditentukan untuk Langganan anda. Notis berkuat kuasa pada tarikh yang terpapar pada resit pemulangan atau untuk e-mel, bila dihantar. Anda bertanggungjawab bagi memastikan alamat e-mel untuk akaun pentadbir yang ditentukan untuk Langganan anda adalah tepat dan terkini. Sebarang notis e-mel yang kami hantar ke alamat e-mel tersebut akan berkuat kuasa apabila dihantar, sama ada atau tidak anda sebenarnya menerima e-mel.
b. Penyerahan. Anda tidak menugaskan perjanjian ini sama ada keseluruhannya atau sebahagiannya. Microsoft mungkin memindahkan perjanjian ini tanpa keizinan anda, namun hanya kepada salah satu Sekutu Microsoft. Sebarang peruntukan yang dilarang adalah terbatal.
c. Kebolehasingan. Jika sebarang bahagian perjanjian ini didapati tidak dapat dikuatkuasakan, baki perjanjian akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya.
d. Penepian. Kegagalan untuk menguatkuasakan sebarang peruntukan perjanjian tidak mewakili penepian.
e. Tiada agensi. Perjanjian ini tidak mewujudkan agensi, perkongsian atau usaha sama.
f. Tiada benefisiari pihak ketiga. Tiada benefisiari pihak ketiga kepada perjanjian ini.
g. Undang-undang dan tempat yang berkenaan. Perjanjian ini ditadbir oleh undang- undang Washington, tanpa mengambil kira prinsip percanggahan undang-undangnya. Tertakluk kepada bahagian (i) dan (ii) di bawah, jika kami mengambil tindakan untuk menguatkuasakan perjanjian ini, kami akan membawanya dalam bidang kuasa di mana anda beribu pejabat. Jika anda mengambil tindakan untuk menguatkuasakan perjanjian ini, anda akan melakukannya di State of Washington, Amerika Syarikat. Pilihan bidang kuasa ini tidak menghalang mana-mana pihak daripada mendapatkan relief injunksi berhubungan dengan pelanggaran hak harta intelektual.
(i) Jika tempat perniagaan utama anda adalah di Brunei, Malaysia atau Singapura, anda bersetuju kepada bidang kuasa bukan eksklusif mahkamah Singapura.
(ii) Jika tempat perniagaan utama anda adalah di Bangladesh, Kemboja, India, Indonesia, Macau SAR, Republik Rakyat China, Sri Lanka, Thailand, Filipina atau Vietnam, sebarang pertikaian yang timbul akibat atau berkaitan perjanjian ini, termasuk sebarang soalan tentang kewujudannya, kesahan atau pembatalannya, boleh dirujuk dan akhirnya diselesaikan melalui penimbangtaraan di Singapura menurut Peraturan Timbang Tara Pusat Timbang Tara Antarabangsa Singapura (“SIAC”) yang mana peraturan-peraturannya disifatkan terkandung melalui rujukan ke dalam subbahagian ini. Tribunal akan terdiri daripada seorang penimbang tara yang akan dilantik oleh Pengerusi SIAC. Bahasa penimbangtaraan adalah Bahasa Inggeris. Keputusan penimbang tara adalah muktamad, mengikat dan tidak boleh dipertikaikan dan boleh digunakan sebagai asas penghakiman selepas itu dalam negara yang dinyatakan di atas atau di tempat lain. Setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang berkaitan, pihak berkenaan mengetepikan hak
mereka untuk sebarang bentuk rayuan atau tindakan seumpamanya kepada mahkamah. Untuk tujuan perjanjian ini sahaja, Republik Rakyat China tidak termasuk Hong Kong SAR, Macau SAR dan Taiwan.
h. Keseluruhan perjanjian. Perjanjian ini adalah keseluruhan perjanjian yang berkenaan dengan bidang perbincangan dan mengatasi sebarang komunikasi terdahulu atau serentak. Jika berlaku konflik antara sebarang dokumen dalam perjanjian ini tidak diselesaikan secara nyata dalam dokumen tersebut, termanya akan dikawal dalam tertib keutamaan menurun yang berikut: (1) Perjanjian Langganan Microsoft Online, (2) Terma Perkhidmatan Dalam Talian, (3) sebarang dokumen lain dalam perjanjian ini.
i. Kekal. Terma dalam Seksyen 1, 2.e, 5, 6, 7, 10 dan 11 akan mengatasi penamatan atau tamat tempoh perjanjian ini.
j. Bidang kuasa eksport A.S. Produk adalah tertakluk kepada bidang kuasa eksport Amerika Syarikat. Anda mesti mematuhi semua undang-undang yang berkenaan, termasuklah Peraturan Pentadbiran Eksport Amerika Syarikat (U.S. Export Administration Regulations), serta pembatasan pengguna akhir, penggunaan akhir dan destinasi yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat dan kerajaan lain. Untuk mendapatkan maklumat tambahan, lihat xxxx://xxx.xxxxxxxxx.xxx/xxxxxxxxx/.
k. Force majeure. Kedua-dua pihak tidak akan bertanggungjawab untuk sebarang kegagalan fungsi akibat daripada sebab selain daripada kawalan wajar pihak-pihak terbabit (seperti kebakaran, letupan, ketiadaan bekalan elektrik, gempa bumi, banjir, ribut kuat, mogok, sekatan, pertikaian buruh, tindakan autoriti sivil atau tentera, perang, keganasan (termasuk keganasan siber), bencana alam, tindakan atau pengecualian pembawa trafik Internet, tindakan atau pengecualian badan kawal selia atau kerajaan (termasuk pelaksanaan undang-undang atau kawal selia atau tindakan kerajaan lain yang memberi impak terhadap pembekalan Perkhidmatan Dalam Talian)). Walau bagaimanapun, Seksyen ini tidak berkenaan dengan kewajipan pembayaran anda di bawah perjanjian ini.
l. Pihak berkuasa yang mengikat kontrak. Jika anda individu yang menerima terma dan syarat ini bagi pihak entiti, anda memperakui bahawa anda mempunyai kuasa undang- undang untuk mengikat perjanjian ini bagi pihak entiti.
m. Pelanggan kerajaan hendaklah berbincang dengan Microsoft. Pelanggan kerajaan hendaklah berbincang dengan Microsoft sebelum penerimaan. Jika anda pelanggan kerajaan, sebelum menerima perjanjian ini, anda hendaklah berbincang dengan wakil Microsoft anda untuk menjamin pematuhan penuh dengan undang-undang tempatan dan proses pemerolehan kerajaan.
n. Remedi pengguna. Peruntukkan berikut hanya berkenaan dengan pelanggan di Australia:
Walau apa pun perkara di dalam perjanjian ini, pengguna boleh mempunyai faedah hak atau remedi tertentu menurut Akta Persaingan dan Pengguna 2010 (Cth) dan undang- undang negeri dan wilayah yang serupa di Australia berkenaan dengan yang mana liabiliti tidak boleh dikecualikan. Jika sedemikian, maka setakat maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang, liabiliti sedemikian adalah terhad, mengikut pilihan kami, dalam kes barangan kepada sama ada (1) penggantian barangan atau (2) pembaikan kecacatan barangan dan dalam kes perkhidmatan kepada sama ada (1) pembekalan semula perkhidmatan atau (2) kos pembekalan semula perkhidmatan. Undang-undang Australia memerlukan kami memaklumkan pembeli pelanggan mengenai barangan Microsoft bahawa: “Barangan kami datang dengan jaminan yang tidak boleh dikecualikan di bawah Undang-undang Pengguna Australia. Anda berhak mendapat barangan gantian atau bayaran balik untuk kegagalan besar dan pampasan untuk sebarang kerugian atau kerosakan wajar yang lain. Anda juga berhak memastikan barangan tersebut diperbaiki atau digantikan jika barangan tidak mempunyai kualiti yang boleh diterima dan kegagalan tidak menyebabkan kerosakan besar”.
o. Liabiliti statutori. Peruntukkan berikut hanya berkenaan dengan pelanggan di New Zealand.
(i) Perniagaan. Kami bertindak sebagai “pembekal” (kerana istilah tersebut ditentukan dalam Akta Jaminan Pelanggan 1993 (Consumer Guarantees Act, “CGA”)) bagi Produk, anda mengesahkan bahawa Produk yang kami sediakan di bawah perjanjian ini diperoleh untuk tujuan perniagaan (kerana istilah tersebut ditentukan dalam CGA) dan GCA tidak berkenaan dengan Produk yang dibekalkan oleh Microsoft.
(ii) Pengguna. Tiada apa-apa dalam perjanjian ini bertujuan untuk mengehadkan hak “pengguna” di bawah CGA di mana Akta berkuat kuasa, kecuali setakat yang dibenarkan oleh Akta dan terma perjanjian ini perlu diubahsuai setakat yang perlu untuk menguatkuasakan niat ini.
11. Definisi.
Sebarang rujukan dalam perjanjian ini mengenai “hari” ialah hari kalendar.
“Dasar Penggunaan Boleh Diterima” ditentukan dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian.
“Sekutu” bermakna mana-mana entiti sah yang dimiliki oleh pihak, yang memiliki pihak atau di bawah pemilik bersama parti tersebut. “Pemilikan” bermakna, untuk tujuan definisi, kawalan lebih daripada 50% kepentingan dalam sesebuah entiti.
“Tawaran Penggunaan”, “Tawaran Komitmen” atau “Tawaran Terhad” menerangkan kategori tawaran Langganan dan ditentukan dalam Bahagian 2.
“Data Pelanggan” ditentukan dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian. “Penyelesaian Pelanggan” ditentukan dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian.
“Pengguna Akhir” bermakna sebarang pengguna yang anda benarkan untuk mengakses Data Pelanggan dihoskan dalam Perkhidmatan Dalam Talian atau sebaliknya menggunakan Perkhidmatan Dalam Talian atau mana-mana pengguna Penyelesaian Pelanggan.
“Produk Bukan Microsoft” ditentukan dalam Terma Perkhidmatan Dalam Talian.
“Perkhidmatan Dalam Talian” bermakna sebarang perkhidmatan dalam talian yang dihoskan oleh Microsoft yang dilanggan oleh Pelanggan di bawah perjanjian, termasuk Microsoft Dynamics Online Services, Office 365 Services, Microsoft Azure Services atau Microsoft Intune Online Services.
“Terma Perkhidmatan Dalam Talian” bermakna terma yang digunakan pada penggunaan Produk oleh anda yang tersedia di xxxx://xxx.xxxxxxxxx.xxx/xxxxxxxxx/xxxxxxxxxxxxxxx. Terma Perkhidmatan Dalam Talian termasuk terma yang mentadbir penggunaan Produk oleh anda tambahan kepada terma dalam perjanjian ini.
“Pratonton” bermakna pratonton, beta atau versi prakeluaran lain atau ciri-ciri Perkhidmatan Dalam Talian atau Perisian yang ditawarkan oleh Microsoft untuk mendapatkan maklum balas pelanggan.
“Produk” bermakna sebarang Perkhidmatan Dalam Talian (termasuk sebarang Perisian).
“Penjual semula” bermakna entiti yang dibenarkan oleh Microsoft untuk menjual semula lesen Perisian dan Langganan Perkhidmatan Dalam Talian di bawah program ini dan digunakan oleh anda untuk memberikan bantuan dengan Langganan anda.
“SLA” bermakna komitmen yang kami buat berkenaan dengan penghantaran dan/atau prestasi Perkhidmatan Dalam Talian, seperti yang diterbitkan di xxxx://xxx.xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx.xxx/xxxx, atau tapak alternatif yang kami kenal pasti.
“Perisian” bermakna perisian yang kami sediakan untuk pemasangan pada peranti anda sebagai sebahagian daripada Langganan anda atau penggunaan dengan Perkhidmatan Dalam Talian untuk mendayakan kefungsian tertentu.
“Langganan” bermakna pendaftaran untuk Perkhidmatan Dalam Talian untuk Tempoh seperti yang ditentukan oleh Penjual Semula anda.
“Tempoh” bermakna tempoh Langganan (cthnya, 30 hari atau 12 bulan).